Foto Hiasan |
BESUT 18 Ogos - Seorang warga emas di sini trauma selepas disamun ketika sedang menyuap nasi untuk ibunya yang berusia 95 tahun.
Dalam kejadian yang berlaku jam 3 petang itu, rantai emas yang dipakai dileher mangsa, Hafsah Abdullah, disamun oleh seorang lelaki di rumahnya di Kampung Gong Jaga, Jerteh pada Selasa lepas.
Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Supt. Mohd. Zamri Mohd. Rowi, ketika kejadian, lelaki yang tidak dikenali itu menutup muka Hafsah dengan tuala sebelum menyamun rantai emas yang dipakainya.
Tambah Zamri lagi, mangsa tidak sempat meminta tolong kerana kedudukan rumahnya agak terpencil iaitu kira-kira 200 meter dari jiran terdekat dan pada ketika itu hanya mereka berdua sahaja yang ada di rumah.
"Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM20,000 dan turut mengalami luka kecil di sebelah telinga kanan akibat ragutan tersebut.
"Mangsa turut mengalami luka pada kedua belah kaki kerana terkena serpihan kaca pinggan nasi yang dipegangnya," katanya kepada pemberita di sini.
Menurutnya lagi, siasatan awal mendapati suspek yang berbadan kurus dan berkulit cerah itu memecah masuk rumah mangsa menerusi tingkap kayu di sebuah bilik di rumah mangsa yang tidak berkunci.
Polis kini katanya, sedang giat mengesan suspek yang dipercayai masih berada di sekitar kawasan tersebut.
Sumber : Utusan