Luahan Rocketpocketman : MB Arah Majlis Sukan Negeri Siasat Dakwaan Azizulhasni

Luahan Rocketpocketman : MB Arah Majlis Sukan Negeri Siasat Dakwaan Azizulhasni -

KUALA NERUS: Menteri Besar mengarahkan Majlis Sukan Negeri (MSN) menyiasat dakwaan kerajaan negeri tidak meluluskan peruntukan untuk membeli basikal `roadbike' seperti didakwa pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang.

Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kertas cadangan dihantar Azizul untuk membeli basikal sebagai persiapan ke Sukan Olimpik.

"Saya sendiri pun tidak tahu mengenai dakwaan pengurus Azizul ada menghantar surat dan kertas cadangan untuk pembelian basikal.

"Saya sendiri tidak kenal pengurus Azizul atau dihubungi olehnya," katanya ketika ditemui pada majlis meraikan bakal haji peringkat Parlimen Kuala Nerus, di sini, petang ini.

Yang turut hadir Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail.

Ahmad Razif berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Azizul yang secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar walaupun beliau tidak membantunya dalam persiapan ke Sukan Olimpik.

Pada acara final Keirin malam tadi, Azizul yang juga anak kelahiran Dungun berjaya memperoleh pingat gangsa.

Ahmad Razif berkata, Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat juga diminta menyiasat dakwaan Azizul seperti yang dimuatnaik melalui akaun laman sosialnya.

"Jika benar dakwaan Azizul, kerajaan negeri memohon maaf tetapi kita juga sudah mengarahkan MSN dan EXCO terbabit melakukan siasatan secara terperinci," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius isu itu kerana sukan lumba basikal antara sukan teras negeri selain bola sepak, hoki dan kuda lasak.

"Kerajaan negeri akan menyediakan insentif atas kejayaan Azizul yang berjaya mengharumkan nama negeri di peringkat antarabangsa.

"Kita sedang membuat persiapan untuk menyambut Azizul sebagai wira dan namanya akan dicatatkan di Muzium Negeri," katanya yang enggan memaklumkan bentuk insentif akan diberikan kerajaan negeri.