KUALA LUMPUR - Hanya orang Melayu sahaja yang mempersoalkan usaha kerajaan membawa masuk sejumlah besar pekerja asing ke negara ini berbanding bukan melayu, demikian dakwaan Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, anak Timbalan Perdana Menteri.
Menurutl Nurulhidayah, orang Melayu tidak sewajarnya merungut dengan kedatangan pekerja asing ke negara ini kerana kaum yang lain juga berkemampuan untuk berjaya dengan hasil usaha gigih mereka sendiri.
"Kalau nak bergaduh, kamu tidak boleh cari makan di negara sendiri. Saya tidak tahulah kepercayaan orang dari luar ini macam mana? Orang yang bising ini adalah orang Islam. Ada dengar orang Cina komen? Tak ada, bukan?
"Kenapa orang Cina boleh boleh hidup di negara kita? Mereka kerja apa? Mereka berniaga char kuey tiaw, buka bengkel, tak bising pun. Kenapa orang Melayu pula yang bising? Kenapa orang India tak bising? Sebab hati," katanya, lapor The Malay Mail Online.
Menurutnya lagi, usaha kerajaan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh itu tidak sepatutnya dijadikan isu. Selagi isu pekerja asing terus dipandang negatif, maka pelbagai persoalan lain yang tidak sepatutnya dipersoalkan akan terus dibangkitkan.