"Sejak masuk 6 bulan ni, rasa 'excited' nak bagi baby makan macam-macam. Tapi, risau juga kalau-kalau ada makanan bayi tertentu yang perlu dielak. Maklumlah, anak kecil kan sensitif dan senang pula kena alergi. "
Memang teruja nak tengok reaksi anak kecil makan bermacam-macam jenis makanan. Kita pun semangat nak sediakan makanan bayi apabila mereka nampak berselera nak 'baham' apa saja yang disuapkan.
Tetapi, jika anak anda berusia bawah 1 tahun dan masih dalam proses memperkenalkan makanan kepadanya, cuba elakkan 6 makanan ini.
6 MAKANAN YANG PERLU DIELAKKAN OLEH BAYI SELAIN 'JUNK FOOD'
Umumnya, kita tentu tahu bahawa makanan diproses seperti 'junk food' dan biskut yang terlalu manis atau masin adalah tidak baik untuk bayi.
Namun, selain itu terdapat juga beberapa makanan organik yang tidak begitu sesuai untuk diperkenalkan sebagai makanan permulaan bayi.
Ini senarai makanan tersebut:
1. PUTIH TELUR
Tak sangka pula putih telur yang kita sangkakan kurang kolesterol dan selamat ini sebenarnya tidak sesuai diberikan sebagai makanan bayi yang berumur bawah setahun.
Menurut healthyeating.sfgate.com, putih telur mengandungi bahan alergenik dan cenderung menyebabkan alahan berupa ruam atau reaksi seperti kembung perut dan sembelit.
Sebagai tambahan, kebanyakan ahli peadiatrik bersetuju bahawa kuning telur adalah lebih selamat untuk bayi.
2. MADU
Kita sedia maklum bahawa madu diguna pakai sebagai penawar untuk pelbagai penyakit sejak sekian lama.
Namun, anda perlu berhati-hati dan mengelak daripada memberinya kepada bayi kerana bekalan madu yang tidak bersih dikhuatiri mengandungi kuman Clostridium botulinum. Walaupun tidak berbahaya kepada orang dewasa, kuman ini boleh menyebabkan keracunan terhadap usus bayi yang tidak matang.
Benar, keadaan ini sangat jarang berlaku, tetapi kesannya sangat merbahaya hingga boleh menyebabkan maut.
3. KACANG
Kacang bukan saja tidak sesuai diberikan kepada bayi kerana saiz dan teksturnya yang keras, tetapi juga kerana ia merupakan salah satu makanan yang paling mudah menimbulkan alahan.
Antara simptom atau reaksi yang boleh terjadi termasuklah ruam, bengkak pada bibir dan muka, kegatalan pada mata, selsema, dan ada juga yang lebih serius sehingga muka bayi menjadi biru akibat kesukaran bernafas.
4. MAKANAN LAUT
Walaupun kaya dengan sumber protein, makanan laut tidak sesuai diberikan sebagai makanan bayi. Merujuk kepada doktor paediatrik, Dr Greene, makanan ini mengandungi kandungan merkuri yang agak tinggi.
Walaubagaimanapun, kebanyakan ikan adalah selamat untuk dimakan oleh bayi kecuali beberapa jenis yang mengandungi merkuri seperti mackerel dan tuna. Tapi pastikan anda telah mengasingkan tulangnya dengan teliti.
5. JUS BUAH-BUAHAN SITRUS
Buah-buahan sangat baik untuk melengkapkan nutrisi serta melancarkan sistem usus bayi.
Namun, terlalu banyak buah-buahan sitrus seperti limau, oren dan lemon dapat membahayakan bayi kerana ianya tinggi kandungan asid.
6. MAKANAN DIET
Menurut doktorbudak.com, semua jenis makanan 'rendah lemak', 'rendah kalori', dan 'tinggi fiber' tidak sesuai dijadikan makanan bayi.
Ini kerana, menurut Dr Pravin Vasanthan, bayi memerlukan tenaga yang tinggi untuk tumbesaran dan memerlukan makanan yang berlemak, dengan kandungan vitamin dan mineral yang mencukupi.
PERKENALKAN MAKANAN BAYI SEDIKIT DEMI SEDIKIT
Apa pun makanan yang pertama kali diberikan kepada bayi, pastikan anda memberinya dalam kuantiti kecil terlebih dahulu.
Jika tidak menimbulkan sebarang reaksi, anda bolehlah meneruskan pemberiannya seperti biasa.