Ramai yang amalkan diet ketat, tak makan malah terlajak gigih bersenam untuk kurus langsing. Tapi untuk dapatkan bentuk tubuh idaman tak semestinya kita amalkan diet sebegini dalam jangka masa yang lama.
Ada banyak aktiviti ringkas atau kecil boleh kita jadikan rutin dalam tempoh 12 jam di siang hari yang kesannya mampu mengurangkan timbunan lemak di tubuh sekali gus menjadikan kita lebih langsing. Antaranya enam perkara ini.
1. Sarapan oat
Bagi yang mahu kurus, oat memang sajian disarankan di pagi hari, bukan saja mengenyangkan, sihat malah bebas kalori. Jika anda kembang tekak menelan oat, boleh ganti dengan dua keping roti gandum dan satu biji telur rebus. Makanan-makanan ini membuat rasa kenyang lebih lama dan mencegah kita mengambil makanan sebelum tengah hari.
2. Turun lebih jauh
Jika menaiki bas jangan turun di hentian depan pejabat, turun lebih kurang 500 meter dari tempat kerja lalu berjalan kaki. Begitu juga sekiranya menaiki kereta, sila cari parkir yang jauh bukan paling dekat. Berjalan kaki bukan hanya melancarkan peredaran darah malah senaman yang membantu kaki jadi lebih tirus cantik.
3. Minum lebih banyak
Bukan minuman manis ya tapi air putih. Paling kurang minum 1.5 liter sehari. Air akan membantu menyalurkan nutrisi ke seluruh tubuh dan juga mencegah pengumpulan lemak di satu bahagian tubuh saja.
4. Makan buah sebelum makan nasi
Selalunya waktu tengah hari kita akan makan nasi, jadi sebelum keluar ke restoran, makan buah epal, betik atau pisang. Buah-buahan ini mengandung gula semula jadi yang menahan rasa lapar dan mengenyangkan seterusnya mengelak kita dari mengambil nasi dalam jumlah banyak.
5. Lakukan senaman regangan
Selepas makan tengah hari jangan terus duduk di depan meja kerja. Tindakan ini akan menyebabkan lemak cepat berkumpul di perut. Lakukan senaman ringkas atau regangan dengan berjalan di sekitar pejabat selama 10 hingga 15 minit. Berjalan ke meja kawan sambil sembang-sembang seronok apa?
6. Tanpa gula
Menjelang petang memang waktu paling nikmat untuk minum kopi atau teh panas bersama kuih manis. Kita memang susah nak tahan keinginan mengunyah ketika ini. Jadi sebagai ganti jangan gunakan gula atau pemanis buatan dalam minuman. Teh atau kopi kita jadi rendah kalori, kan. Minum teh hijau misalnya best juga.
Semua perkara ini senang saja untuk kita lakukan, antara mahu dan tak mahu saja dan jika diperhatikan ia merangkumi aktiviti senaman, pengurangan kalori dan pemakanan sihat. Kalau keenam-enam perkara ini kita amalkan pada waktu siang setiap hari tak mustahil banyak kilo yang boleh kita kurangkan.
BACA SETERUSNYA DISINI