Masjid Negara Tampil Jawab Mengenai Isu Bilik Wuduk VVIP


Sejak semalam tersebar di laman sosial facebook sekeping gambar kononnya terdapat bilik wuduk khas untuk golongan VVIP di Masjid Negara di mana ia menjadi perbualan ramai.

Kerana isu ini, pihak Masjid Negara menerima kritikan daripada netizen kononnya mengamalkan sistem kasta dalam agama Islam namun di sebalik kritikan ada yang mempertahankan tindakan itu kerana kata mereka hanya mereka yang selalu solat di Masjid Negara tahu mengenai perkara sebenar.

Berikut merupakan kenyataan rasmi daripada Masjid Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berhubung isu gambar Bilik Wuduk VVIP yang telah diviralkan oleh pengguna di laman sosial facebook.

1) Kemudahan Bilik Wuduk VVIP

Umum mengetahui Masjid Negara merupakan masjid yang menjadi tuan rumah kepada acara-acara rasmi agama peringkat persekutuan seperti sambutan maal hijrah, maulidur rasul, hari kebangsaan, hari pahlawan dan nuzul quran.

Masjid Negara juga sering dikunjungi oleh SPB YDP Agong, raja-raja, pembesar-pembesar dalam dan luar negara, tetamu-tetamu kenamaan dan duta-duta asing atas lawatan atau urusan rasmi.

Oleh yang demikian amatlah wajar Bilik Wuduk VVIP ini disediakan sebagai kemudahan kepada tetamu-tetamu ini mengambil wuduk bersesuaian dengan lokasinya yang terletak bersebelahan dengan ruang menunggu VVIP.

Selain itu juga, Kemudahan khas ini mengambil kira prosedur dan sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

2) Gambar Bilik wuduk VVIP yang viral agak mengelirukan.

Masjid Negara juga ingin menjelaskan tentang gambar yang diviralkan itu seolah-olah Bilik Wuduk VVIP terlalu eksklusif dengan tanda signage yang besar. Gambar yang diambil itu tidak menggambarkan gambar bilik wuduk VVIP yang sebenarnya. (Rujuk gambar).


Untuk makluman, Masjid Negara mengamalkan polisi bersifat terbuka dan bersedia untuk menerima komen, pandangan dan teguran daripada sesiapa sahaja termasuk orang awam demi kebaikan dan penambahbaikan.

Namun begitu Masjid Negara juga berpandangan bahawa setiap teguran dan kritikan perlulah disalurkan dengan cara dan wasilah yang sesuai bukanlah berbentuk provokasi lebih-lebih lagi yang mempunyai niat dan agenda tertentu.

Atas sebab itu Islam mengajar kita setiap teguran ada adab dan tatacaranya. Contohnya, dalam bab solat jemaah, makmum boleh menegur imam yg tersilap dengan kaedah ucapan ‘subhanallah’ bagi lelaki dan bertepuk bagi perempuan. Namun kedua-dua cara teguran tersebut bukan dilakukan dengan cara bertempik atau menepuk dengan kuat tetapi memadai ia dapat difahami oleh imam.


Lihat juga bagaimana al-Quran mengajar Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS agar berdialog dan menegur kebongkakan Firaun dengan cara berhemah dan berlembut sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Toha ayat 44 yang bermaksud:

“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyatakan yang dimaksudkan dengan kata yang lemah lembut itu ialah tidak menegur dan berkata-kata melainkan dengan saling harmoni dan bahasa yang lembut.

Ringkasnya, teguran adalah satu kewajiban di atas dasar “amar maaruf nahi munkar” namun ia perlu dilakukan dengan konsep yang digariskan seperti berikut:
1) Teguran adalah dengan niat dan tujuan baik.
2) Teguran dilakukan dengan hikmah tidak sampai menyinggung perasaan dan boleh menimbul kemarahan.
3) Teguran tersebut tidak sampai mengaibkan, seperti menegur di depan orang ramai dan secara terbuka.
4) Teguran hendaklah dilakukan dengan cara bersemuka atau apa-apa cara yang berniat ikhlas.

Tan Sri Dato’ Syaikh Haji Ismail bin Haji Muhammad
Imam Besar Masjid Negara
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Berikut pula adalah perkongsian pengguna Facebook yang katanya menggunakan Masjid negara untuk solat Jumaat yang kami petik dari sebuah komen di sebuah page Facebook yang memainkan isu ini.


Jadi jika berdasarkan komen saudara ini, ternyata bilik ini dibuka kepada orang ramai untuk menggunakannya dan mungkin ditutup sebentar untuk kegunaan tetamu vvip yang hadir.

Ada juga netizen yang mencadangkan perlataan VVIP itu ditukar kepada perkataan KHAS yang berbunyi "Bilik wudhu khas". - Siakapkeli.my