Shiro kena bedah


Kuala Lumpur: Pelawak popular, Shahrol Shiro terpaksa menjalani pembedahan akibat jangkitan sinus di sebuah pusat perubatan swasta di Johor Bahru, pagi esok.
Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 31, berkata, dia tidak menyangka masalah pening kepala dan berdenyut pada bahagian atas kening kirinya sejak seminggu lalu disebabkan oleh sinus.
Katanya, bimbang dengan keadaan itu, dia mengambil keputusan membuat pemeriksaan di hospital dan disahkan menghidap penyakit berkenaan serta perlu menjalani pembedahan secepat mungkin.
"Sudah seminggu saya sakit kepala dan rasa berdenyut di bahagian kening kiri sangat mengganggu sampaikan tidur malam tidak lena.
"Berikutan tidak cukup rehan, saya jadi lesu. Ditambah lagi dengan jadual kerja yang padat, lagilah penat.
"Saya jadi bimbang dan pergi buat pemeriksaan di hospital pada Ahad lalu. Rupa-rupanya saya disahkan menghidap sinus dan terus ditahan di wad untuk menjalani pembedahan yang dijadualkan pagi esok," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Shahrol yang juga penyampai radio Era FM memuat naik sekeping gambar pada akaun Instagram miliknya awal pagi ini memaklumkan terpaksa berehat daripada aktiviti seni minggu ini kerana masalah kesihatan.
Pengumuman itu mengundang tanda tanya dan spekulasi peminat apakah permasalahan sebenar yang dimaksudkan ahli kumpulan Shiro itu. Hmetro