Bayi sebesar 5.8 kilogram telah dilahirkan oleh seorang wanita di India dan disebabkan bayi lelaki itu amat besar, doktor terpaksa melakukan pembedahan caesarian secara kecemasan untuk mengeluarkannya dari perut ibunya meskipun sebelum itu bayi tersebut dilaporkan akan dilahirkan secara normal.
Bayi tersebut yang masih belum diberi nama dilahirkan pada Rabu lalu dan disahkan sebagai bayi terbesar di India.
Bagaimanapun doktor percaya bayi itu dilahirkan dengan saiz yang besar disebabkan ibunya, Goga Bai. 25, mengalami masalah berat badan iaitu 99.7 kilogram dan mengalami masalah kencing manis, iaitu keadaan di mana ia boleh menjurus kepada pembesaran bayi dalam kandungan.
“Saya tidak pernah berdepan dengan ibu yang melahirkan anak sebesar ini dan ia amat mengejutkan kami di hospital ini. Disebabkan bayi ini sangat besar, ia tersangkut menyebabkan pembedahan terpaksa dilakukan.
“Ibu dan anaknya sihat meskipun wanita itu mengalami masalah pernafasan,’’ kata Dr Anamika Aggarwal, salah seorang doktor yang membantu kelahiran bayi tersebut.
Menurut Dr Anamika kebiasaannya seseorang bayi akan menjadi obes ketika dalam kandungan apabila ibunya mengalami kencing manis.