Prosedur Kelahiran Bayi 'Lotus Birth' Kini Menjadi Trend Doktor & Bidan?


Sebuah laman Facebook berasaskan ibu hamil telah memuat naik informasi mengenai prosedur kelahiran Lotus Birth yang mengundang rasa kurang senang netizen terutamanya ibu-ibu mengandung. 

Menurut info dari laman berkenaan, Lotus Birth adalah sebuah prosedur kelahiran bayi tanpa menggunting tali pusat ketika lahir yang didakwa menjadi trend bidan dan doktor pada hari ini. 

"Tali pusat bayi dibiarkan bersambung dengan plasenta atau uri sehingga terputus sendirinya dari badan badan. Tujuannya adalah untuk membiarkan plasenta 'menghabiskan tugas-tugas terakhirnya iaitu membantu melepaskan tali pusat dari badan bayi," 

Menurut sumber, Lotus Birth ini bermanfaat kepada bayi berbanding jika dipotong akan menyebabkan luka serta menimbulkan rasa tidak selesa pada bayi.

"Bayi yang lahir dengan kaedah ini akan tidur lebih lena dan menghisap ASI dengan lebih baik berbanding bayi-bayi yang dipotong tali pusatnya. 

"Kaedah ini juga akan mengurangkan trauma bayi yang baru dilahirkan berikutan keadaan di luar tidak sama dengan rahim ibunya kerana bayi masih berhubung dengan plasenta. Selain itu, bayi juga akan menjalani awal kehidupannya dengan lebih relaks dan tenang tanpa merasa 'kehilangan' atau 'perpisahan' secara mendadak rahim. 

"Ketika bayi dimandikan, plasenta juga perlu dibersihkan dan dikeringkan dengan menekan-nekan plasenta tersebut sebelum disimpan kembali di bekasnya dan ditaburi dengan garam laut atau garam kristal serta dibubuh dengan minyak aromaterapi untuk mencegah bau. 

"Namun, Lotus Birth tidak dapat dilakukan jika tali pusat bayi terlalu pendek," katanya. 

Bagaimananya, netizen mengecam kaedah kelahiran itu yang dianggap menjijikkan serta tidak sesuai diamalkan oleh mereka yang beragama Islam. 

"Lebih baik tanam segera seperti mana yang diajar oleh Islam. Jadi kerja nak usung uri ke sana sini. Tali pusat pun berbau, apatah lagi uri seketul. Jangan mengarut," kata Tay. - THEHYPEMEDIA.COM